PERUTUSAN PENGERUSI
Tahun 2026 menandakan detik bersejarah bagi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) apabila kita meraikan ulang tahun ke-70 penubuhan sejak tahun 1956. Perjalanan tujuh dekad ini memperlihatkan keutuhan peranan SPPP dalam mengemudi pembangunan pelabuhan, menyokong pertumbuhan ekonomi negeri Pulau Pinang, serta menyumbang kepada kemajuan sektor maritim negara.
Dari pelabuhan warisan yang menjadi nadi perdagangan serantau, SPPP kini berperanan sebagai badan pengawalselia strategik yang memastikan ekosistem pelabuhan kekal cekap, selamat dan berdaya saing. Kejayaan ini adalah hasil dedikasi warga SPPP serta sokongan padu daripada pelbagai pihak berkepentingan termasuk agensi kerajaan, pemain industri dan komuniti pelabuhan.
Seiring dengan tema “Steering the Future from Heritage to Horizon”, SPPP terus komited untuk mengekalkan warisan pelabuhan yang gemilang sambil melakar masa depan yang progresif dan mampan. Dalam konteks ini, Pulau Pinang memiliki potensi besar untuk terus berkembang sebagai destinasi utama pelancongan kapal persiaran (cruise) di rantau ini. SPPP bersama rakan strategik akan terus memperkukuh kemudahan dan infrastruktur di Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT) bagi memastikan pengalaman pelancong serta pengendalian kapal persiaran berada pada tahap terbaik, sekaligus mengangkat Pulau Pinang sebagai gerbang maritim pelancongan serantau.
Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) atas sokongan, bimbingan dan kepercayaan yang diberikan kepada SPPP dalam melaksanakan mandat pengawalseliaan pelabuhan. Ucapan terima kasih juga ditujukan kepada pengguna pelabuhan, termasuk pengendali kapal, agensi pelancongan, komuniti maritim serta semua rakan industri atas kerjasama erat dan keyakinan berterusan terhadap peranan SPPP.
Sambutan 70 tahun ini bukan sekadar peringatan sejarah, tetapi menjadi lambang semangat baharu untuk terus melangkah maju. Dengan asas kukuh yang dibina selama tujuh dekad, saya yakin SPPP akan terus menjadi organisasi yang berwibawa, inovatif dan berdaya tahan dalam mengemudi masa depan pelabuhan dari warisan yang gemilang menuju ke horizon yang penuh harapan.
Sekian, terima kasih
Dato’ Yeoh Soon Hin
Pengerusi
Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang